BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Pelaburan berimpak tinggi RM1.76 bilion Jepun ke Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor berjaya membawa pulang pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM1.76 bilion hasil misi pelaburan ke negara Jepun baru-baru ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia melalui perjanjian usahasama pada 25 Januari lalu antara Worldwide Holdings dengan GSPP, iaitu anak syarikat Oji Group bernilai RM1.26 bilion yang bakal membuka jalan bagi pengembangan perniagaan kilang kertas GSPP di Kuala Langat.

“Ianya bagi membina sebuah loji rawatan air yang membekalkan air terawat industri untuk kilang kertas GSPP, yang kini adalah rakan kongsi Selangor.

“Perjanjian ini terhasil daripada proses perundingan yang ‘intense and vigorous’ antara saya, UPEN, Worldwide Holdings dengan Oji Group.

“Selain itu, Selangor berjaya meraih pelaburan dari Nippon Express iaitu pemain global dalam industri logistik dan pengangkutan serta beberapa syarikat Jepun lain, dengan anggaran pelaburan mencecah RM500 juta,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ia adalah kejayaan besar yang dicapai seawal Januari tahun ini walaupun dalam tempoh singkat yang berjaya membawa pulang hasil lumayan.

“Ini memperlihatkan kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai kita dalam rundingan dengan pelabur asing yang akhirnya membawa kejayaan kepada Selangor. Kita bukan sahaja dapat menarik pelaburan besar, tetapi juga meletakkan terma yang mampu mencipta nilai dalam pelaburan.

“Kewibawaan dan kepakaran dalam rundingan merupakan aset penting bagi Selangor. Gagasan Selangor sebagai ‘regional smart state’ memerlukan kita melakukan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat gergasi global.

“Kita meraikan pelaburan domestik dan asing. Namun, pelaburan mestilah memanfaatkan rakyat dan negeri serta tidak sama sekali menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negeri,” katanya.

Katanya, Selangor perlu mempersiapkan pasukan pegawai yang berwibawa, berkepakaran dan berintegriti untuk berunding dengan syarikat-syarikat gergasi dan ekonomi dunia bagi menjamin kelangsungan Pelaburan Langsung Asing (FDI) serta pertumbuhan organik.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia, kita terdedah kepada suasana ekonomi global yang menuntut persaingan hebat dalam perdagangan serantau dan antarabangsa,” katanya.

=EZY=


Pengarang :