BERITA UTAMASELANGOR

Potensi Selangor jadi pusat industri ‘startup’

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 28 JAN: Selangor berpotensi besar menjadi pusat utama industri ‘startup’ serta tumpuan syarikat juga ramai pemain industri berkaitan di negara ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata dengan kemudahan industri dan pusat pengajian tinggi yang banyak, ia bersesuaian bagi tujuan berkenaan.

“Pihak ‘startup’ dihimpunkan bersama agensi lain seperti kewangan, institusi pendidikan dan sebagainya dengan tujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung perniagaan ‘startup’ yang terdapat di Selangor.

“Kalau di Amerika Syarikat ada Silicon Valley kerana mempunyai universiti seperti Universiti Stanford dan sebagainya maka di Selangor, kita memiliki bilangan universiti dan kolej paling banyak di negara ini.

“Maka dirasakan Selangor mempunyai potensi dan ia sangat bersesuaian dengan visi Smart Selangor digariskan Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar (Smart State),” katanya selepas menghadiri PJ Startup Festival 2018 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

Turut serta, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh.

ADN Seri Setia itu berkata, penganjuran pesta itu amat bersesuaian apabila ramai usahawan menceburi pelbagai bidang berkaitan seperti membina aplikasi dan yang lain adalah sebahagian daripada wawasan berkenaan.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Negeri ketika ini bergerak daripada peringkat asas dan sudah mempunyai penekanan dalam bidang STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

CABARAN HADAPI REVOLUSI 4.0

“Kalau kita mahu mempunyai usahawan baik dalam ‘startup’ maka mereka mesti mempunyai penguasaan baik dalam STEM dan seterusnya kita mempunyai inkubator seperti Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) untuk menggalakkan semua ‘startup’ berkembang dan dibawa ke peringkat sterusnya.

“Festival ini juga membantu generasi muda bagi berkongsi idea dan membukan ruang pekerjaan kerana Kerajaan Negeri turut memberi penekanan membina masyarakat dalam Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu memiliki revolusi industri tetapi kehilangan tenaga kerja kerana ekoran menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi sehingga tidak memerlukan tenaga pekerja.

“Kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku,” katanya menambah program itu amat sesuai dijadikan acara tahunan.

Perniagaan ‘startup’ ialah industri atau perusahaan rintisan yang baru berkembang lebih terarah kepada bidang teknologi, web, internet dan berkaitan.

=EZY=


Pengarang :