NASIONAL

Warga New Zealand tegur skirt pendek pramugari AirAsia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Ekoran terlalu seksi dan mengghairahkan, warga New Zealand; Dr June Robertson ‘menegur’ cara pemakaian pramugari syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia.

Menerusi catatan Dr June yanag dimuat naik semula pengguna Twitter, Ammah Taha, beliau mendedahkan pengalaman pelancong itu ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia ke negara ini.

“Saya seorang wanita di usia pertengahan yang sering melawat Malaysia sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Kami amat mencintai negara ini. Saya turut memilih destinasi Kuala Lumpur sebagai perhentian saya untuk ke Eropah dan memilih Hotel Sama Sama untuk menginap.

“Namun, saya cukup tersinggung dengan pakaian pramugari AirAsia yang memakai skirt pendek berbanding syarikat penerbangan lain seperti NZ, Australian atau American Airlines,” tulisnya.

Namun kata Dr June, pengalaman penerbangan ke Auckland dari Kuala Lumpur ketika menggunakan perkhidmatan AirAsia, pada Oktober lalu benar-benar tidak dapat dilupakannya.

“Pada penerbangan kelas ekonomi itu, seorang pramugari AirAsia dengan pakaiannya yang menampakkan sedikit permukaan atas bahagian dadanya.

“Saya menegurnya dan menyuruh pramugari itu menutup bahagian yang terdedah itu tetapi saya tertanya bagaimana sebuah negara yang dihormati seperti Malaysia boleh membenarkan keadaan seperti itu berlaku,” tulisnya.

Bagaimanapun, lebih mengejutkan kata Dr Jun, beliau juga pernah terlihat pakaian dalam seorang pramugari AirAsia ketika sedang berbelanja di sebuah pasar raya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, sebelum ini.

“Secara jujurnya, syarikat ini hanya akan merendahkan reputasi mereka apabila ramai penumpang yang melawat KLIA 2 dan melihat terlalu banyak skirt merah dengan gaya yang terlalu seksi,” tulisnya pada catatan itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan catatan berkenaan dibuat Dr Jun untuk diadukan kepada pengurusan AirAsia atau sebaliknya.

Namun, dalam catatan berkenaan, beliau masih memuji etika pemakaian pramugara lelaki AirAsia yang mengekalkan profesionalisma kerjaya itu.

Sementara itu, sehingga berita ini dilaporkan, catatan Twitter terbabit mendapat lebih 21,000 perkongsian semula (retweet) dan 9,000 suka (like).


Pengarang :