GLOBAL

Cambridge Analytica bantu kemenangan Trump

LONDON 21 MAC: Ketua Eksekutif Cambridge Analytica yang kini digantung tugas, dalam video yang dirakamkan secara rahsia berkata kempen atas talian firma perunding itu memainkan peranan penting dalam kemenangan Presiden Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016.

Kenyataan itu, yang tidak dapat disahkan, berpotensi memberikan masalah lanjut kepada Facebook Inc ketika ia berhadapan tekanan ahli perundangan di AS dan Eropah berhubung penggunaan secara salah data peribadi 50 juta pengguna media sosial itu untuk mensasarkan pengundi oleh firma beribu pejabat di Britain itu.

Saham rangkaian Facebook jatuh untuk hari kedua, ditutup pada 2.5 peratus, kerana pelabur bimbang masalahnya dengan Cambridge Analytica mungkin menjejaskan imejnya, menghalang pengiklan dan mencetuskan peraturan lebih ketat.

Lembaga Pengarah firma itu, menggantung Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexander Nix, semalam sejurus sebelum pendedahan bahagian kedua mengenai kaedah firma itu oleh stesen penyiar Channel 4 di Britain.

Dalam program itu, Nix menggambarkan amalan boleh dipersoalkan yang digunakan untuk mempengaruhi pilihan raya negara luar dan berkata firmanya membuat semua penyelidikan, analisis dan mensasarkan pengundi bagi kempen digital dan televisyen Trump.

Beliau turut berbangga pertemuan ‘banyak kali’ dengan Trump ketika beliau menjadi calon presiden Republican.

“Kenyataan Nix tidak mewakili nilai atau operasi firma dan penggantungan beliau menunjukkan kami melihat pelanggaran ini dengan amat serius,” kata Cambridge Analytica dalam kenyataan semalam.

Menantu Trump, Jared Kushner, yang kini menjadi penasihat kanannya, memantau operasi kempen digital Trump.

Seorang bekas penasihat presiden itu berkata, Kushner membawa masuk Cambridge Analytica ke dalam usaha kempen 2016.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :