SELANGOR

Isu Bukit Broga, MPKj perketat aspek keselamatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Aspek keselamatan di Bukit Broga diperketatkan sebagai jaminan insiden membabitkan kemalangan pendaki di kawasan riadah itu, tidak berulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Sayuthi Bakar berkata, aspek keselamatan diberi perhatian menyeluruh terutamanya di kawasan hotspot dan laluan pendakian.

“Tumpuan aspek keselamatan di kawasan laluan pendakian diberi perhatian memandangkan sebelum ini pendaki tidak dimaklumkan kawasan hotspot laluan Bukit Broga.

“Di peringkat cadangan, selepas kajian dan proses piawaian ditetapkan, MPKj menilai semula sebarang keperluan terhadap keselamatan pendakian di Bukit Broga,” katanya pada sidang media di Menara MPKj, semalam.

Terdahulu, dilaporkan berlakunya beberapa insiden membabitkan beberapa kes pendakian di bukit berkenaan.

Kes terkini melibatkan dua penuntut Universiti Nottingham yang sesat ketika mendaki di puncak bukit berkenaan.

Dalam kejadian lain, turut dilaporkan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Melaka terjatuh ketika turun dari puncah pertama Bukit Broga, Semenyih, tahun lalu.


Pengarang :