BERITA UTAMASELANGOR

Persempadan Selangor : Kenapa SPR terburu-buru?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Kerajaan Selangor mempersoal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkan terburu-buru meneruskan proses persempadanan baru di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu menimbulkan keraguan terhadap agensi berkenaan yang sewajarnya tidak dipengaruhi mana-mana tekanan pihak tertentu.

“Mereka tidak perlu tergesa-gesa menyiapkan proses cadangan persempadan semula ini kerana SPR mempunyai satu tempoh panjang bagi menyelesaikannya.

“Untuk rekod, SPR mempunyai tempoh dua tahun sehingga 14 September 2018 bagi menyelesaikan proses ini. Jadi kenapa ia dipercepatkan semata-mata untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, pada pilihanraya ini.

“Sedangkan dalam bidang kuasa yang ada mereka boleh meneruskan prosiding ini sehingga September depan.

“Sewajarnya SPR bertindak secara rasional supaya tidak wujudnya kekeliruan dalam proses pilihanraya seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 11, pada 2004 lalu,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Azmin bercakap pada sidang media selepas hadir mendengar sesi pendegaran awam SPR bagi pihak Kerjaan Negeri, di Hotel Concorde Shah Alam petang ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri; Elizabeth Wong dan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN), Haniza Talha, Ng Suee Lim dan Hasbullah Ridzwan.

Pada sidang itu juga, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut membangkitkan beberapa dokumen sokongan sebagai bantahan kepada langkah persempadan baru Selangor oleh SPR.

“Kami juga turut menyertakan laporan dan kajian dilakukan Harvard University dan Sydney University yang mendedahkan Malaysia berada di kedudukan 142 daripada 158 negara yang melaksanakan pilihanraya.

“Menurut kajian itu, negara yang berada di kedudukan rendah adalah negara yang mempunyai masalah kestabilan politik dan sosial.

“Kajian sama mendapati bahawa Malaysia berada di kedudukan corot daripada kawasan persempadanan pilihanraya,” katanya.

Justeru kata Mohamed Azmin, SPR seharusnya bertindak telus tanpa melaksanakan sebarang proses kajian persempadanan baru yang boleh memberi kelebihan kepada pihak tertentu.


Pengarang :