NASIONAL

Malaysia hadapi krisis integeriti akibat rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 MAC: Malaysia diyakini menghadapi krisis integriti berikutan siasatan dan tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggambarkan ia pada tahap membimbangkan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, peratusan dicatatkan juga membuktikan generasi muda tidak terkecuali dalam kes rasuah berlaku di negara ini.

“Tiga tahun lalu, tangkapan dibuat SPRM membabitkan kira-kira 2,000 dengan 54 peratus daripadanya berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Hasil tangkapan itu membuktikan kes rasuah turut membabitkan Generasi Y,” katanya dalam forum Malaysia Menuju Negara Korupsi: Fakta atau Propaganda? di sini, semalam.

Beliau berkata, tangkapan SPRM dan penyertaan golongan muda dalam kes berkaitan amat membimbangkan ekoran kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 memberi gambaran akan situasi itu.

Katanya, kajian dibuat dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) menyatakan bahawa 30.5 peratus daripadanya bersedia menerima rasuah apabila menyertai alam pekerjaan.

“Kini Malaysia menghadapi krisis integriti bukan sahaja dalam kalangan generasi lama tetapi juga generasi muda,” katanya.

Hasil kajian Indeks Persepktif Rasuah (CPI) pada tahun lalu, katanya, juga memberi gambaran buruk dengan Malaysia berada pada kedudukan 62 daripada 180 negara.

“Bagi melonjak kembali kedudukan CPI ini, kerajaan perlu memastikan kes berkaitan seperti 1MDB, Felda dan yang lain disiasat bagi menggembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.


Pengarang :