NASIONALSUKANKINI

FMLLP: Denda setimpal, demi kemajuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 MAC: Perkongsian Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang menyatakan bahawa pasukan Liga Malaysia (Liga M) boleh dikenakan denda perlu diterima dengan hati terbuka demi kemajuan bola sepak negara.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, jumlah hukuman dikenakan juga adalah setimpal dengan situasi semasa dan agihan terkini diterima setiap pasukan bertanding.

“Sesetengah pihak tidak menyedari agihan diberikan ketika ini sebanyak RM3 juta untuk setiap pasukan Liga Super, maka walaupun didenda RM1.5 juta, namun pasukan masih menerima 50 peratus lebih dari jumlah agihan pada tahun lalu iaitu RM 1 juta.

“Sebelum FMLLP ditubuhkan, pasukan hanya menerima RM250,000 bagi setiap pasukan Liga Super, maka hukuman dikenakan sekarang adalah seperti sesebuah pasukan didenda RM125,000 pada ketika itu.

“Jumlah hukuman dikenakan kini adalah relevan dan mengikut nilai, pada masa sekarang,” katanya.

Katanya, hukuman potongan mata ditangguhkan menunjukkan FMLLP mahu pasukan berubah menjadi lebih efisien, berdisiplin dan prihatin, pada masa depan.

“Jika tidak mahu dihukum, pasukan ini harus menerima anjakan paradigma dalam Liga M selain sudah mula berlaku dan mereka harus mengambil serius semua aspek pengurusan.

“Jangan mengharap dana lebih besar tetapi tetap mahu menguruskan diri dengan cara sama,” katanya.

Terdapat 10 pasukan boleh dikenakan hukuman antaranya enam daripada pasukan yang lewat melengkapkan dokumen iaitu pasukan MIFA, UKM FC, Selangor, PKNS FC, PDRM dan Kuala Lumpur manakala baki empat pasukan lagi adalah yang gagal melengkapkan dokumen iaitu pasukan Kelantan, Kuantan FA, Sarawak dan Pulau Pinang.

FMLLP masih mengamalkan semangat kerjasama bersama pasukan dan atas nasihat tunku pengerusi serta dipersetujui Lembaga Pengarah FMLLP, maka peluang diberi kepada semua pasukan untuk tidak dipotong mata serta-merta tetap sebagai satu pengajaran kepada pasukan untuk lebih efisien, pada masa akan datang.

Semua pasukan terbabit diberi masa 14 hari bagi membuat rayuan bagi pengurangan hukuman terbabit.


Pengarang :