PBTSELANGOR

Pothole Rangers berjaya baiki 316 jalan rosak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MAC: Selepas sebulan penubuhan pasukan ‘Pothole Rangers’, Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menyelenggara 316 jalan rosak dan berlubang, di 96 lokasi bawah seliaannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, daripada jumlah itu, 79 aduan diterima daripada orang awam, manakala 17 kawasan lagi ditemui pasukan terbabit.

“Semua jalan ini dibaiki dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima. Selepas selesai menyelenggara kawasan MPK, kita bersedia membantu membaik pulih kawasan bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) jika pihak mereka mahu dibantu.

“Pasukan ini masih lagi bergerak 24 jam ketika ini. Orang ramai digalakkan bekerjasama menyalur maklumat kepada MPK jika menemui jalan yang perlu dibaiki,” katanya.

Pada Januari lalu, MPK mengambil langkah proaktif menubuhkan pasukan ‘Zero Pothole’ bagi menyelenggara jalan rosak dan berlubang dalam tempoh 24 jam.

Sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi kerja pembaikan dalam tempoh tiga bulan, bermula Januari hingga April ini.

Pasukan yang dinamakan ‘Pothole Rangers’ itu akan bergerak sepanjang masa di seluruh kawasan Klang untuk mengesan dan membuat kerja tampalan.

Kerja pembaikan jalan dilaksanakan empat pasukan Jabatan Kejuruteraan sedia ada secara dalaman membabitkan Klang Utara, Klang Selatan, Pelabuhan Klang dan Klang Timur sepanjang 1,500 kilometer.

Tindakan penampalan lubang akan dilaksanakan secepat mungkin dalam tempoh 24 jam daripada aduan diterima, sama ada pada waktu bekerja atau cuti am.


Pengarang :