PBTSELANGOR

Sabar dan berhemah bila guna laluan Jalan Hamidiah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 6 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memohon orang ramai dan pengguna jalan raya bersabar dalam memberi kerjasama penggunaan Persiaran Hamidiah sebagai laluan keluar masuk lori di tapak pembinaan Projek The Lourve.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, laluan itu terpaksa digunakan lori kerana jalan keluar masuk yang sebenar masih belum siap.

“Mana-mana projek pembangunan sedang dijalankan, selagi jalan masuk sebenar belum siap mereka perlu melalui laluan-laluan lain.

“Kita juga telah mensyaratkan pihak pemaju untuk utamakan dari segi keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran E-Lesen Perniagaan dan Anjing di MPKj di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan melaporkan MPKj digesa mengambil tindakan terhadap pemaju projek The Lourve yang didakwa tidak mematuhi peraturan operasi ditetapkan.

Sehubungan itu, Sayuthi memohon orang ramai mengambil maklum tentang perkara itu dan memberi kerjasama sehingga laluan masuk sebenar siap.

“Selepas projek itu siap nanti laluan masuk tidak lagi melalui Persiaran Hamidiah,” katanya.

Projek The Lourve di kawasan itu melibatkan pembinaan pangsapuri 36 tingkat dan bakal menempatkan 30 unit kedai serta 498 unit kediaman.

=EZY=


Pengarang :