SUKANKINI

TMJ sah letak jawatan Presiden FAM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah meletak jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas setahun memimpin pasukan itu.

Perkara itu diumumkan baginda dalam sidang akhbar, di Hotel Phoenix, Forest City, Iskandar Puteri di Johor Bahru, semalam menurut laporan Football Tribe.

Tunku Ismail bertitah, sepanjang setahun menjadi presiden, beberapa perubahan dibawa berhubung aspek struktur dan sistem baharu ke dalam badan bola sepak Malaysia itu.

“Antaranya saya membawa ramai penaja dengan kali pertama dalam sejarah setiap pasukan bertanding terima hampir RM3 juta (Liga Super) juga RM1 juta (Liga Premier) dan ia akan meningkat.

“Selain itu, jika dilihat dari segi struktur, hubungan dengan penyokong lebih baik berbanding sebelum ini dan kita boleh tengok pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, bawah 19 tahun juga bawah 16 tahun melakukan dengan baik,” katanya.

Surat perletakan jawatan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tunku Ismail bertitah, baguinda sering dinilai melalui prestasi pasukan kebangsaan, namun tidak menyalahkan penyokong kerana banyak pihak melihat dirinya sebagai pesaing.

“Bukan sebagai Presiden FAM tetapi sebagai pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan pasukan terhebat negara. Maka, ramai yang anggap saya sebagai pesaing dan nilai daripada segi orang kata kurang arif, kurang bijak.

“Pada saya, ini tidak kisah. Saya ada satu prinsip dalam hidup, masa adalah segala-galanya. Tidak kisah berapa kaya atau kuasa seseorang manusia itu, apa yang sudah hilang lima minit lalu tidak akan boleh dibeli balik.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya termasuk penaja dan pasukan bertanding,” katanya.

Tunku Ismail akan kekal sebagai Pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan hanya fokus kepada pengurusan Liga Malaysia.


Pengarang :