SELANGOR

MBPJ-SSDU laksana sistem Smart Selangor Parking mulai 1 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melaksanakan tempoh percubaan Sistem Parkir dan Kompaun Berintegrasi ‘Smart Selangor Parking’ (SSP), bermula 1 Mei depan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sistem SSP itu dilaksanakan bertujuan memudahkan pengurusan kawalan letak kereta dan kaedah alternatif bayaran caj letak kereta kepada pengguna awam, selain Sistem Letak Kereta Berkupon.

Katanya, melalui sistem itu, pengguna boleh membuat tambah nilai ke dalam satu akaun atas talian menerusi aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan untuk membayar caj letak kereta dan kompaun letak kereta.

“Pengguna letak kereta diberi pilihan menggunakan kaedah bayaran.

“Kaedah itu antaranya, pembayaran elektronik menggunakan aplikasi pada telefon pintar atau pembayaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi aplikasi SSP,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohd Azizi berkata SSP dimulakan di kawasan Letak Kereta ‘On-Street’ Dataran Sunway, PJU 5 Kota Damansara Petaling Jaya berkuatkuasa sehingga 31 Mei, depan.

Pada masa sama, katanya, pelaksanaan sistem itu tidak akan membabitkan sebarang perubahan kadar caj letak kereta sepertimana yang dikuatkuasakan di Petaling Jaya, ketika ini.

Aplikasi SSP dijangka boleh dimuat turun bermula 23 April ini dan akan diumumkan kepada orang ramai melalui platform media sosial rasmi MBPJ seperti di Facebook, Twitter dan Instagram serta laman web rasmi www.mbpj.gov.my.

Ia boleh dimuat turun di ‘Apple AppStore’ dan ‘Android Playstore’.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung pelaksanaan tempoh percubaan SSP, sila hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 145, 138 atau 132.


Pengarang :