SELANGOR

Mohamed Azmin tekad teruskan kecemerlangan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjanji akan meneruskan tanggungjawab dengan berwibawa dan berintegriti sekiranya rakyat mengekalkan Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tekad dan ikrar itu akan dapat dilaksanakan dengan jayanya serta beliau mahu perpaduan dipertahankan serta keharmonian diperkukuhkan.

“Kerja kuat ini akan pastikan Selangor terus maju serta makmur.

“Jika rakyat berikan amanat besar kepada kami, kami akan menggalas tanggungjawab dengan jujur untuk membangunkan negeri ini dan memperkukuhkan kemakmuran kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Mohamed Azmin berkata, Selangor masih kekal termaju di Malaysia dan merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus.

Katanya, kejayaan itu membuktikan Selangor bekerja kuat, sekali gus berjaya menyumbang angka terbesar di Malaysia.

“Selangor merupakan sebuah negeri rencam dengan pelbagai kaum, budaya dan agama.

“Melihat keadaan ini, kesejahteraan Selangor kukuh dan perpaduan sangat baik.

“Saya berterima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri sejak 2008,” katanya.

 


Pengarang :