NASIONAL

Semua pihak perlu tangani kemiskinan bandar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 APR: Kerajaan dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah kemiskinan dihadapi rakyat ketika ini khususnya di kawasan bandar.

Ketua Ekonomi DM Analytics Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, kemiskinan bandar adalah satu isu penting yang membebankan rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup masa kini.

“Untuk menyelesaikannya, kita perlu memahami sesuatu isu dihadapi supaya ianya mampu ditangani dengan cara betul.

“Kita perlu mengubah perkara berhubung kait kemiskinan bandar antaranya kesihatan kanak-kanak, masalah kehilangan pekerjaan dan sebagainya yang mana ia harus diberi perhatian dari segi perangkaan supaya mampu diatasi,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas forum isu sosial semasa ‘Kemiskinan Bandar: Antara Fakta Dan Auta’ di Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di sini, semalam.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat juga boleh bertindak untuk perubahan itu namun tidak memerlukan kumpulan yang besar.

“Mana-mana polisi ingin dilaksanakan hanya memerlukan sekumpulan kecil memainkan peranan dan ia perlu dijalankan secara betul, yang pasti dilakukan secara aktif,” katanya.

Berhubung forum anjuran ABIM itu, katanya, ia pendekatan bagus kerana isu sebegitu jarang diperkata dan dibahaskan dalam kalangan masyarakat.

“Program sebegini bukan sekadar memberi kesedaran tetapi juga perancangan bukan hanya di peringkat kerajaan tetapi NGO dan individu bagi melakukan sesuatu,” katanya.


Pengarang :