AKTIVITI DAN IKLANSELANGOR

Citarasa Nostaliga 27 Malam tawar aneka juadah sempena Ramadan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KOTA DAMANSARA, 17 MEI: Kelab Golf Seri Selangor (KGSS) meneruskan tradisi kemeriahan Bufet Ramadan 2018 dengan menyajikan lebih 70 aneka juadah berbuka puasa berkonsepkan ‘Citarasa Nostalgia 27 Malam’.

Ketua Pegawai Operasinya, Nasrudin Abu Bakar berkata, KGSS turut mengekalkan hidangan tradisi seperti kambing golek dan sate khas buat pengunjung.

Katanya, peminat setia bufet Ramadan juga tidak perlu bimbang kerana mereka dapat merasai sekali lagi juadah berkenaan, sepanjang Ramadan ini.

“Kami akan melakukan perubahan menu utama setiap hari supaya mempunyai lebih variasi.

“KGSS juga tidak meminggirkan hidangan ala kampung yang digemari ramai seperti gulai kawah tulang kambing, daging masak lada hitam, ketam berlada, patin tempoyak dan ikan talang gulai nenas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Prebiu Ramadan, di Dewan Utama Kelab Golf Seri Selangor, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, KGSS menawarkan kepakaran mereka dalam setiap masakan yang bakal disajikan dengan harga amat berpatutan.

“Harga yang ditawarkan, RM78 bersih untuk dewasa dan RM55 bersih untuk kanak-kanak (tujuh hingga 10 tahun) serta warga emas (60 tahun ke atas).

“Menariknya, kanak-kanak berusia bawah enam tahun akan dijamu secara percuma,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengunjung akan berpeluang berbuka bersama keluarga dan rakan dengan berlatar belakangkan pemandangan kehijauan padang golf yang memberi pengalaman cukup berbeza.

Bufet Ramadan itu dibuka setiap hari dari jam 6.30 petang hingga 10 malam, bermula 18 Mei hingga 13 Jun ini.


Pengarang :