SELANGOR

Pengalaman 10 tahun mematangkan Juwairiya dalam politik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan parti itu menghargai kewibawaan calon muda sebagai pelapis kepimpinan negara.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pemilihan dirinya sebagai calon adalah satu penghargaan daripada parti setelah hampir 10 tahun beliau membabitkan diri dalam politik.

“Walaupun dicalonkan pada saat akhir, ia bukan halangan untuk mendekati pengundi kerana saya sudah mula turun padang sejak dua tahun lalu.

“Malahan saya diamanahkan Presiden KEADILAN untuk bertanding dan memikul tanggungjawab memenangi kerusi N.10,” katanya kepada Selangor Kini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sistem UKM itu yakin dengan pengalamanya selama 10 tahun berkhidmat dengan pemimpin-pemimpin besar dalam PAKATAN mematangkan dirinya.

Katanya lagi, meletakkan calon muda juga mampu memberikan impak positif terhadap transformasi politik negara.

“Pada 2008, saya adalah pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan selepas itu saya juga pernah berkhidmat sebagai pembantu dan penyelidik kepada Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Proses selama 10 tahun itu juga mematangkan saya walau kini baru berumur 33 tahun, namun PAKATAN telah memberi peluang kepada ahli politik muda untuk meneruskan perjuangan mereka,” katanya.

Selain Juwairiya, calon muda yang turut bertanding adalah di Najwan Halimi (Kota Anggerik), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Hilman Idham (Gombak Setia), Michelle Eng (Subang Jaya) dan ramai lagi.


Pengarang :