SELANGOR

Menteri Besar Selangor baharu bakal diketahui esok?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Teka-teki berkenaan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Selangor akan diketahui esok semasa raptai majlis angkat sumpah jawatan itu, di Istana Alam Shah, Klang.

Memetik laporan Astro Awani, mengikut beberapa sumber dalaman Pakatan Harapan (PAKATAN), antara tiga nama Ahli Dewan Negeri (ADN) yang disebut sebagai calon, bakal terjawab pada majlis berkenaan.

Sumber itu berkata, antara tiga nama yang diuar-uarkan adalah ADN Ijok, Dr Idris Ahmad; ADN Sungai Tua, Amirudin Shaari atau ADN Seri Setia, Prof Dr Shaharudin Badaruddin.

Bagaimanapun, desas desus kuat mengatakan sama ada Dr Idris atau Amirudin sahaja yang bakal menjadi pengganti Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Shaharudin mungkin tidak akan menerajui Selangor kerana beliau masih dalam sesi rawatan memulihkan diri daripada sakit.

Manakala, sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan nama Dr Idris sudah diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Amirudin dan Shaharudin adalah ahli exco pentadbiran sekarang, manakala Dr Idris seorang pakar obstetrik dan ginekologi.

Spekulasi berkenaan siapa Menteri Besar Selangor mula menjadi perbualan hangat selepas Mohamed Azmin menerima pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Pengarang :