GLOBAL

Poland tarik balik lebih 4 juta telur dicemari antibiotik

WARSAW 16 JUN: Perkhidmatan veterinar Poland, semalam menarik balik kira-kira 4.3 juta telur yang dicemari antibiotik, beberapa hari selepas Belanda mengarahkan ia dikeluarkan dari pasar raya di Jerman.

Pegawai mengarahkan telur berkenaan, yang dijual di pasar domestik, ditarik balik susulan pemeriksaan yang diadakan.

“Penarikan balik itu disebabkan kehadiran sisa antibiotik lasalocid pada kadar melebihi paras maksimum pada kadar dibenarkan,” menurut kenyataan.

Ketua perkhidmatan veterina Poland, Pawel Niemczuk, berkata ubat itu dimasukkan secara salah ke dalam makanan untuk diberikan kepada ayam yang bertelur di ladang berhampiran Poznan.

“Makanan untuk menggemukkan ayam yang menggunakan antibiotik secara sah, tersalah diberikan kepada ayam yang bertelur,” katanya kepada agensi berita PAP.

Selasa lalu, pihak berkuasa Jerman menarik balik kira-kira 73,000 telur Belanda dari pasar raya selepas ditemui dicemari fipronil, racun serangga sama yang mencetuskan kebimbangan tahun lalu.

Kementerian Pertanian Lower Saxony berkata, kumpulan telur tercemar itu datang dari ladang organik di Belanda, tetapi menegaskan ia tidak bahaya kepada kesihatan manusia.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :