SELANGOR

Tiada bayaran sewa tapak niaga Seri Serdang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menyalahgunakan namanya untuk mengutip sewa tapak perniagaan.

Hal itu diumumkan menerusi laman Facebooknya susulan terdapat pihak menggunakan namanya untuk mengutip sewa daripada penggerai dan peniaga kereta terpakai di bawah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB) Puchong Permai.

“Saya tidak pernah mengeluarkan surat mahupun kebenaran lisan kepada mana-mana pihak kerana ia salah di sisi undang-undang.

“Peniaga tidak perlu membayar yuran perlindungan atau sewa kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata, pihak berkuasa belum bercadang memindahkan peniaga, di sana.

“Namun pada masa hadapan, jika pihak berkuasa dan pemilik tanah berhasrat mengambil semula tanah mereka atau memindahkan peniaga, maka pada ketika itu peniaga harus akur dengan undang-undang.

“Sila laporkan kepada saya jika ada pihak yang menggunakan nama saya untuk kepentingan mereka,” katanya.


Pengarang :