EKONOMISELANGOR

Hijrah Selangor lebar bantuan golongan pertengahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUL: Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk melebarkan bantuan pinjaman perniagaan menerusi Hijrah Selangor kepada golongan pertengahan dalam usaha memperkasakan usahawan negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagi melebarkan usaha itu, Kerajaan Negeri memerlukan suntikan peruntukan yang besar, sekali gus kerajasama daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, selain itu, menjadi hasrat pihaknya untuk melihat Hijrah Selangor diperkasakan dan berfungsi membantu usahawan secara menyeluruh selain hanya memberi dan mengutip pinjaman.

“HIJRAH berjaya membuktikan selama ini mereka membantu ramai usahawan mikro di Selangor dan kita sedang membuat kajian sama ada cita-cita kita untuk memningkatkan kelompok golongan menengah melalui program ini dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kita juga sedang melihat keberangkalian terutamanya peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat lebarkan lagi fungsinya.

“Kita mahu Hijrah bukan lagi berfungsi memberi dan mengutip pinjaman sebaliknya bagaimana ia membantu usahawan secara menyeluruh melalui program yang dilaksankan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Hijrah Selangor di SUK, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau sudah mengarahkan Exco-exco Kerajaan Negeri untuk berhubung dengan Putrajaya bagi menjalinkan kerjasama kedua-dua pihak dalam merangka dan memperkukuhkan program Kerajaan Negeri.

“Dalam dua mesyuarat lepas, arahan jelas kepada Exco Kerajaan Negeri berhubung kerjasama dengan Putrajaya dan bagaimana untuk memaksimumkan dana yang diberikan.

“Exco-exco ketika ini sedang bertemu untuk memperkukuhkan semua program dan aktiviti Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :