GLOBAL

Penyelam tentera Thailand lemas dalam Gua Tham Luang

MAE SAI, Thailand 7 JUL: Seorang bekas penyelam tentera laut Thailand lemas semalam ketika cuba membantu menyelamatkan sebuah pasukan bola sepak kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah gua dinaiki air, manakala pegawai-pegawai memberi amaran bahawa peluang untuk membebaskan mereka adalah ‘terhad’.

Penyelam itu yang dikenal pasti sebagai Saman Kunont, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan oksigen kepada kumpulan kanak-kanak terperangkap itu.

Kematian penyelam itu menimbulkan keraguan serius mengenai aspek keselamatan dalam percubaan untuk membawa keluar 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka melalui laluan sempit di Gua Tham Luang yang ditenggelami banjir di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

Bagaimanapun, Apokorn Yookongkaew yang merupakan komander unit khas tentera laut Thailand, SEAL berkata, pasukan penyelamat tiada pilihan selain menyusuri laluan sukar itu kerana mereka tidak boleh menunggu sehingga hujan monsun berakhir.

“Pada mulanya, kami menyangka kanak-kanak itu boleh berada di gua itu untuk tempoh yang lebih lama tetapi keadaan kini berubah, kami mempunyai masa yang terhad,” katanya kepada wartawan semalam.

Situasi suram itu menutup kegembiraan rakyat Thailand awal minggu ini apabila kumpulan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi selamat di atas batu di dalam gua berkenaan.

Kebanyakan kanak-kanak lelaki itu berusia antara 11 hingga 16 tahun dan tidak pandai berenang, jauh sekali mempunyai pengalaman menyelam.

SUMBER: AFP


Pengarang :