SELANGOR

PKNS, anak syarikat tawar perkhidmatan kesihatan berkualiti

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikat, Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate Corporation) mengorak langkah menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti dengan kadar berpatutan kepada rakyat di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, Kerajaan Negeri memberi mandat dan peranan penting kepada Selgate Corporation untuk mempelopori penjagaan kesihatan di negeri itu.

“Syarikat ini dijangka memiliki dan menguruskan operasi tiga hospital menjelang 2020 di mana ia termasuk langkah pengambilalihan pembelian ekuiti serta kerjasama strategik termasuk ‘green field’ dan ‘ground field’.

“Pengurusan Selgate Corporation yang dinamik, efisien dan progresif terus mengorak langkah bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan meningkatkan produktivitinya selaras dengan industri kompetetif serta keadaan ekonomi mencabar,” katanya dalam majlis perasmian Selcare Clinic di Seksyen 13 di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah diambil Selgate Corporation menerusi anak syarikatnya, Selgate HealthCare ialah pembelian ekuti 70 peratus daripada Sri Permai Medic Sdn Bhd, 16 Oktober tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, proses penjenamaan semula dilakukan terhadap semua klinik berkaitan kepada Selcare Clinic Sdn Bhd melalui dua rangkaian iaitu Selcare Clinic dan KL Clinic.

“Daripada 17 klinik, Selcare Clinic di bawah pengurusan Selgate Corporation telah menambah cawangan terbaharu di Seksyen 13 di sini seterusnya mengembangkan lagi perniagaan klinik di Menara PKNS di Petaling Jaya dan Menara Wolrdwide, Kuala Lumpur,” katanya.

Dr Noraida berkata, perkhidmatan ditawarkan Selgate Corporation adalah selaras dengan status Selangor sebagai negeri maju yang menjadi tumpuan serta mempunyai kemudahan dan fasiliti perubatan moden serta canggih seterusnya meningkatkan lagi ekses rakyat kepada perkhidnatan kesihatan berkualiti serta berpatutan.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi; CEO Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth dan Pengerusi Selcare Clinic, Azhar Ahmad.


Pengarang :