SUKANKINI

WC2018: Mandzukic dan Perisic lebur impian England ke final

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 12 JUL: Croatia melakar kebangkitan menakjubkan untuk mara buat pertama kali ke pentas akhir Piala Dunia 2018 apabila menewaskan England 2-1 dalam aksi 120 minit permainan di separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Gandingan Ivan Perisic dan Mario Mandzukic menjadi pemusnah harapan skuad bimbingan Gareth Southgate yang beraksi lebih bersemangat dengan mentaliti mahu menang walaupun ketinggalan di awal permainan.

Croatia terlebih dahulu tersentak dengan jaringan pembukaan England seawal minit kelima bagi kedudukan 0-1 hasil sepakan percuma Kieran Trippier.

Ketua pasukan Croatia, Luka Modric sebelum itu menjatuhkan Dele Alli di luar kotak penalti dan pengadil dari Turki, Caneyt Cakir tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan percuma buat England yang disempurnakan Trippier dengan melencongkan bola ke bahagian atas gawang tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic.

 

Ini merupakan jaringan pertama Trippier bersama The Three Lions di pentas antarabangasa.

England yang kental bertahan selepas itu hampir melebarkan pendahuluan pada minit ke-29 menerusi Harry Kane.

Tetapi Subasic lebih bertindak pantas menyelamatkan dua percubaan Kane sebelum pengadil memutuskan penyerang England itu berada dalam kedudukan offside.

Selang dua minit kemudian, Ante Rebic menguji gawang England menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti yang berjaya dikawal penjaga gol, Jordan Pickford.

Jesse Lingard turut terlepas peluang apabila rembatannya gagal menepati sasaran di minit ke-35.

Croatia tampil bertenaga bagi mencari gol penyamaan di babak kedua yang akhirnya menjelma di minit ke-68 menerusi Ivan Perisic.

Bermula daripada hantaran Sime Vrsaljko, Perisic bertindak pantas meluru ke bahagian tengah kotak penalti sebelum melakukan tampanan ala ‘kung-fu’ bagi memberikan keceriaan buat kem Croatia.

Perisic hampir meletakkan Croatia mendahului perlawanan pada minit ke-72 tetapi percubaannya terkena tiang gol manakala rembatan susulan Rebic terus ke dakapan Pickford.

Mario Mandzukic turut menguji ketangkasan Pickford di minit ke-82 menerusi satu rembatan kencang yang berjaya dikawal penjaga gol England itu.

Berlarutan ke masa tambahan, percubaan John Stones hampir menggegar gawang Croatia pada minit ke-98 menerusi satu tandukan bebas tetapi berjaya keluarkan Vrsaljko di atas garisan gol.

Mandzukic sekali lagi kecewa di hujung babak pertama masa tambahan apabila tampanannya berjaya dihalang Pickford bagi kedudukan kekal 1-1.

Masuk babak kedua, Mandzukic akhirnya menebus kehampaan apabila berjaya menyumbat gol kedua Croatia pada minit ke-109.

Berpunca daripada tandukan ke belakang Perisic, Mandzukic pantas mengejar bola sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Pickford bagi kedudukan 2-1.

England melakukan beberapa pertukaran pemain selepas itu tetapi gagal menemui sentuhan jaringan penyamaan dan Croatia menempah tiket ke perlawanan akhir buat kali pertama bertemu Perancis, Ahad ini.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

 


Pengarang :