NASIONAL

Caj perkhidmatan penumpang MAHB masih terendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menegaskan caj perkhidmatan penumpang (PSC), pendaratan dan parkirnya terendah dalam kalangan lapangan terbang bersaiz sama.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, caj Malaysia hanya satu pertiga daripada purata global bagi pendapatan aeronautik setiap pergerakan pesawat, selain pendapatan aeronautik setiap penumpang.

“Kajian kaji selidik kawal selia tahunan oleh firma perunding global LeighFisher menunjukkan ia terendah dalam kalangan 50 kumpulan syarikat pengendali lapangan terbang yang ditanda aras dalam kaji selidik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab laporan sebuah akhbar tempatan yang diterbitkan Jumaat lalu.

Pada masa sama, MAHB juga menegaskan laporan itu yang membandingkan ranking Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam Skytrax berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bukanlah ‘perbandingan setara’.

Katanya, orang ramai akan mendapati Changi menggunakan prinsip tiada diskriminasi caj lapangan terbang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, iaitu caj lapangan terbang sama kepada semua syarikat penerbangan.

Beliau berkata, caj dikenakan Changi adalah lebih tinggi dan pelbagai, berbanding KLIA kerana memasukkan item tambahan seperti levi lapangan terbang serta yuran pembangunan lapangan terbang yang digunakan untuk membayar kos pembangunan lapangan terbangnya, selain PSC sendiri.

“Di sebalik persekitaran operasi seragam bagi syarikat penerbangan penuh dan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Changi, jumlah trafik antarabangsa LCC di sana mengatasi KLIA. Perkara sama juga berlaku bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok.

“Ini memberikan sebab yang kukuh bagi sesebuah lapangan terbang yang berjaya membenarkan syarikat penerbangan bersaing di atas kekuatan sendiri di bawah persekitaran yang seragam, tanpa kehilangan nilai ekonomi bagi negara masing-masing,” katanya.

MAHB berkata, lebih 75 peratus rangkaian 39 lapangan terbangnya di negara ini tidak berdaya maju dari segi komersial.

Katanya, ia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan terbang mendarat dan berlepas pendek (STOL).

“Lapangan terbang terbabit diuruskan menggunakan model subsidi bersilang bagi memberikan hubungan yang diperlukan oleh rakyat negara ini di bandar-bandar kecil dan kawasan pedalaman.

“Menyelenggara rangkaian lapangan terbang ini membabitkan perbelanjaan modal dan operasi yang besar,” katanya.


Pengarang :