NASIONAL

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi anjur Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018

PUTRAJAYA, 19 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018 (KBN 2018) pada 1 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut kementerian itu, kongres tersebut dijadual dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan ucaptama, disusuli sesi dialog bersama Perdana Menteri mengenai masa depan Bumiputera dan negara.

“Turut diadakan ialah pembentangan kertas kerja oleh dua wakil badan bukan kerajaan terpilih iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM), selain sindikasi kumpulan yang berlangsung serentak bagi membincangkan enam bidang fokus yang ditetapkan,” menurut kementerian dalam kenyataan.

Bertemakan ‘Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu,’ kongres sehari itu akan memberi penekanan kepada enam bidang fokus utama merangkumi Nilai, Moral dan Etika, Pendidikan dan Modal Insan, Penciptaan dan Pemilikan Kekayaan, Perniagaan dan Keusahawanan serta Tindakan Afirmatif dan Pembentukan Strategi/ Hala Tuju.

Resolusi KBN 2018 akan diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut kementerian, KBN 2018 bakal menjadi platform asas kepada usaha kerajaan membentuk agenda pemerkasaan Bumiputera yang baharu serta salah satu usaha dan penglibatan kerajaan dengan pelbagai pihak berkepentingan Bumiputera bagi menyuarakan pandangan dan idea baharu secara konstruktif.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :