GLOBAL

Korban gempa Lombok meningkat kepada 387 mangsa

MATARAM, Indonesia 12 OGOS: Kematian akibat gempa bumi di Pulau Lombok meningkat kepada 387 orang, kata pihak berkuasa semalam, manakala ribuan mangsa di pusat perlindungan berdepan kekurangan bekalan air bersih, makanan dan perubatan sejak seminggu lalu.

Gempa sekuat 6.9 magnitud itu telah meranapkan beribu-ribu rumah, masjid dan premis perniagaan di seluruh Lombok, hanya seminggu selepas satu gegaran susulan di pulau ber­kenaan menyebabkan 17 orang terbunuh.

Kebanyakan mangsa kini terpaksa tidur di bawah khemah atau kain rentang berhampiran rumah mereka yang rosak.

Malah, enam hari selepas gempa bumi itu, sejumlah mangsa dipercayai masih belum menerima sebarang bantuan terutamanya yang tinggal di kawasan pergunungan di utara Pulau Lombok.

“Masalah utama ialah pengagihan bekalan kepada beribu-ribu mangsa yang ditempatkan di khemah perlindungan. Kebanyakan jalan di utara Pulau Lombok telah musnah akibat gempa bumi berkenaan,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, pihaknya meramalkan angka kematian berkemungkinan akan terus meningkat memandangkan masih ada beberapa mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh dan serpihan runtuhan.

“Terdapat beberapa penemuan mangsa yang masih belum direkodkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kawasan di sekitar utara Pulau Lombok dilaporkan terjejas teruk dengan hampir 200,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan 13,000 orang mengalami kecederaan, menurut perangkaan rasmi terbaharu.

Sutapo berkata, tempoh res­pons kecemasan telah dilanjutkan kepada 14 hari sekali gus membenarkan pihak berkuasa menangani pelbagai masalah yang masih wujud di situ.

SUMBER: AFP


Pengarang :