NASIONAL

MOA dengar rintihan petani, nelayan sebelum gubal dasar Agro 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEKINCHAN, 24 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan program turun padang ke seluruh negara bagi mendengar sendiri keluhan dan rintihan petani, sebelum dasar Agro Makanan Negara 2020 digubal, pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin berkata, pihak kementerian sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan golongan terbabit dalam forum dua hala itu.

“Kita tidak nafikan wujud masalah dihadapi golongan petani dan nelayan bukan sahaja di Sekinchan tetapi seluruh negara.

“Saya dan Yang Berhormat Menteri sangat pro aktif turun padang mendengar rintihan dan beliau sudah turun di banyak tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Dialog Timbalan Menteri Pertanian YB Sim Tze Tzin Bersama Komuniti Petani dan Nelayan Sekinchan, di Kilang Padi PLS Marketing, di sini, hari ini.

Tze Tzin berkata, pandangan peringkat akar umbi sangat penting bagi kementerian merangka dasar yang memastikan bekalan makanan dipertingkatkan.

Sebelum itu, pada forum yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Sue Lim dan pegawai jabatan kerajaan, pelbagai persoalan dibangkitkan masyarakat petani dan nelayan, di kawasan itu.

Antaranya, isu serangan haiwan perosak tanaman padi, kualiti benih padi, penggunaan pekerja asing di bot nelayan tempatan dan lain-lain.


Pengarang :