SELANGOR

UNISEL raih empat pingat ‘STEM Computational Thinking Game Design Competition’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OGOS: Universiti Selangor (UNISEL) dianugerahkan dua perak dan dua gangsa dalam ‘STEM Computational Thinking Game Design Competition’ di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi Korporatnya, Nik Nabilah Nik Aziman berkata, dua pingat perak itu disumbangkan menerusi modul matematik dibangunkan pensyarah Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS).

Katanya, dua pingat gangsa lagi menerusi modul Kimia dan Sains Forensik, hasil kerjasama antara CFGS dan Jabatan Sains Bioteknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH).

“Pasukan UNISEL terdiri daripada 10 pensyarah dan lapan pelajar yang diketuai Dr Hazeeq Hazwan Azman, manakala Timbalan Dekan CFGS membentangkan tiga kertas kerja penyelidikan STEM.

“Pembentangan ini merupakan hasil daripada kajian sampingan semasa projek Mentor Mentee STEM sepanjang 2017 bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), dan ia berlangsung di sekolah sekitar Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, pasukan STEM UNISEL juga merupakan ahli ‘National STEM Movement’ yang bakal menyertai perbincangan STEM ASEAN di Acheh, Indonesia.

“Semoga penglibatan UNISEL bakal menjadi nadi penggerak dalam usaha memperkasa STEM di peringkat kebangsaan dan serantau Asia.

Sementara itu, Dr Hazeeq menyifatkan pengiktirafan diterima berjaya membuktikan kredibiliti modul ‘Fun with STEM’ yang dibangunkan pensyarah UNISEL.

“Saya berharap, dengan kemenangan ini akan mampu meletakkan UNISEL sebagai antara peneraju utama STEM di Malaysia,” katanya.


Pengarang :