SELANGOR

Anak muda impi jadi tauke, enggan jadi nelayan – ADN Sekinchan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 13 OGOS : Anak muda tempatan hanya bercita-cita menjadi ‘tauke’ dan tidak berminat dengan kerja-kerja 3D (Dirty, Dangerous adn Diffiult), kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Katanya, disebabkan itu, sektor perikanan turut menerima kesan kekurangan tenaga kerja tempatan akibat keenganan golongan tersebut bekerja dalam bidang terbabit.

“Memang menyedihkan kerana tidak kiralah, anak Melayu, Cina, India ataupun lain-lain tidak sangup bekerja sebagai nelayan, semua mahu jadi tauke sahaja.

“Kerajaan perlu menggalakkan anak tempatan berkecimpung dalam bidang nelayan bagi mengelakkan pertambahan pekerja asing dalam sektor ini,” katanya ketika sesi dialog bersama nelayan Sekinchan di Pantai Redang.

Ketika sesi dialog bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu, salah seorang nelayan menyatakan masalah berhubung kekurangan tenaga kerja tempatan sehingga terpaksa menggunakan khidmat pekerja asing.

Malangnya, pengusaha nelayan terpaksa menanggung kerugian akibat disaman menggunakan pekerja asing.

Suee Lim berkata, tidak dinafikan terdapat nelayan yang terpaksa sorok-sorok menggunakan khidmat pekerja asing yang tidak mepunyai permit.

“Akhirnya mereka ditangkap, kemudian dikenakan saman, bot disita dan lebih teruk ialah lesen digantung.

“Saya berharap supaya pihak menteri memanjangkan isu ini kepada kabinet, jika perkara ini tidak diselesaikan berkemungkinan pada masa akan datang penduduk di negara ini turut sukar mendapat bekalan ikan,” katanya.


Pengarang :