SELANGOR

27 anggota pembantu penguatkuasa MBPJ tamat latihan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 21 SEPT: Seramai 27 anggota pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tamat latihan kursus asas pembantu penguatkuasa siri 1/2018.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ melantik 21 lelaki dan enam wanita bagi jawatan Pembantu Penguatkuasa (Kontrak) – Gred KP19 berkuatkuasa 15 Februari 2018.

Katanya, semua anggota menjalani kursus asas seperti pendedahan kepada aspek perundangan dan pengenalan fungsi majlis, integriti, sahsiah diri serta latihan fizikal juga kawad kaki.

“Pendedahan ini bertujuan memahirkan anggota sebelum memulakan tugas dan tindakan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran MBPJ.

“Saya optimis kursus seumpama ini dimanfaatkan semua peserta bagi bersiap siaga sebagai anggota penguatkuasa MBPJ yang cekap, berdedikasi dan terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Anggota Penguatkuasa MBPJ, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han.

Mohd Azizi berkata, persekitaran yang semakin mencabar menjadikan tugas penguatkuasa juga sering teruji dengan pelbagai perkara.

“Namun, saya percaya ini semua boleh ditangani sekiranya penguatkuasaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip perkhidmatan awam yang kita amalkan.

“Saya menggesa supaya anda semua dapat menterjemahkan sikap integriti ketika melaksanakan tugas berasaskan peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan terutama ketika mendepani isu-isu perbandaran pada masa ini,” katanya.

Difahamkan, Jabatan Penguatkuasaan MBPJ kini sudah mempunyai 477 anggota terdiri daripada 392 pegawai dan anggota penguatkuasa, 20 polis bantuan, 26 pengawal keselamatan serta 39 lain pangkat juga jawatan.


Pengarang :