SELANGOR

Banteras denggi: Kompaun lebih beri kesedaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 11 SEPT: Tindakan kompaun dan penguatkuasaan ketat diperakui lebih memberi kesedaran kepada masyarakat bagi memastikan tahap kepekaan terhadap masalah denggi di kawasan kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar berkata, sebelum tindakan tegas dikenakan pihak berwajib terutama Jabatan Kesihatan, penduduk disaran menggembleng tenaga bersama menghapuskan tempat pembiakan aedes.

Katanya, usaha mengekang tempat pembiakan aedes bukan terletak pada tanggungjawab jabatan terbabit sahaja, sebaliknya perlu seiring dengan kesedaran dan kerjasama semua penduduk.

“Tindakan kompaun tanpa kompromi salah satu cara untuk melibatkan penduduk supaya lebih bertanggungjawab kerana denggi boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.

“Ancaman denggi berlaku kerana terdapat pembiakan aedes di sesuatu kawasan, jadi tindakan perlu diambil daripada diri individu itu sendiri,” katanya pada program gotong-royong bersama penduduk di Apartmen Cempaka, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Harumaini berkata, beliau juga mendapati masih ada segelintir masyarakat yang kurang kesedaran terhadap alam sekitar dengan membuang sampah di merata tempat.

Katanya, hal itu mengakibatkan longkang tersumbat dan air bertakung, sekali gus boleh menjurus kepada pembiakan aedes.

“Justeru, sikap meletakkan tanggungjawab kepada orang lain perlu dibuang dalam diri, tetapi masyarakat seharusnya memberi sepenuh komitmen bagi menjamin tempat kediaman mereka bebas daripada pembiakan aedes dan mencegah denggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru masyarakat yang tinggal di kawasan flat memberi kerjasama dengan menyertai setiap aktiviti gotong-royong dianjurkan jawatankuasa penduduk masing-masing.


Pengarang :