SELANGOR

CAEXPO eratkan Malaysia-China, bantu syarikat tempatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penyertaan dalam Expo China-ASEAN (CAEXPO) mewujudkan kerjasama erat antara Malaysia dan China serta membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, expo itu adalah kerjasama antara kedua kerajaan dan menjadi landasan strategik bagi menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan serta mengukuhkan perdagangan dua hala antara China juga ASEAN.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO membawa impak luar biasa dengan perolehan tawaran perniagaan besar bersama rakan perdagangan.

“Pada masa sama, expo ini meletakkan Malaysia sebagai pusat pasaran berpotensi bagi pengguna China dan pengimport.

“Selain itu, sebagai rakan perdagangan lebih besar, pasaran China menarik perhatian di seluruh dunia dan perlu menjadi tumpuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut hadir Naib Gabenor Wilayah Automnomi Guangxi Zhuang, Yan Zhichan; Timbalan Pesuruhanjaya Khas China di Malaysia, Wang Desheng; Setiausaha Kerajaan Kemboja, Ros Sorakha; Gabenor Wilayah Tarlac Filipina, Susan A Yap serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pasaran Pengawasan dan Pemeriksaan Biro Pos China, Bian Zuodong.

Rodziah berkata, strategi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai sumber import utama China, di ASEAN dengan meningkatkan akses pasaran ke negara itu serta menggiatkan usaha promosi dan pembinaan jenama juga perkhidmatan Malaysia.

Katanya, penyertaan Malaysia lebih bermakna dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Tourism Malaysia secara aktif mempromosikan pelaburan langsung asing (FDI) serta pelawat China ke Malaysia.

“CAEXPO disertai Malaysia sejak 2004, menjadi landasan kukuh kepada syarikat dari Malaysia dengan rakan dagang China dan banyak syarikat mendapat manfaat melaluinya.

“Untuk CAEXPO 2018, MATRADE membawa 174 syarikat dan agensi bagi menyertainya dengan 60 peratus peserta adalah baharu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kementerian dan agensi menyokong MATRADE bagi penyertaan ke CAEXPO 2018 iaitu antaranya MIDA, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Invest Selangor, Tourism Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN Selangor).


Pengarang :