BERITA UTAMASELANGOR

MB: ORS Kampung Hang Tuah alternatif atasi masalah bekalan air

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 30 SEPT: Kewujudan kolam takungan hiliran (ORS) Kampung Hang Tuah di sini, memberi alternatif tambahan bagi mengatasi masalah bekalan air berlaku di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi ORS itu juga Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kos perbelanjaan ditanggung sebelumnya dengan kaedah dipraktikkan sebelumnya.

“Sebelumnya kita gunakan pam dan kosnya sangat tinggi iaitu melebihi RM43 juta maka dengan mengguna pakai pintu air, kita mampu mengawal kadar masuk serta keluar air.

“Dengan cara ini, pada masa air sungai berlebihan kita boleh mengalirkannya ke dalam ORS untuk digunakan apabila kadar air sungai pada tahap rendah,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Hari Sungai Sedunia 2018 peringkat Selangor di sini, hari ini.

Program peringkat negeri itu dijalankan bersesuaian dengan sambutan Hari Sungai Sedunia diraikan pada Ahad minggu terakhir September, dimulakan Mark Angelo sejak 2005.

Beliau berkata, penganjuran program itu di ORS Kampung Hang Tuah sebagai bukti bagaimana Kerajaan Negeri menyediakan takungan alternatif untuk mengatasi masalah bekalan air ketika berdepan musim seperti El Nino dan isu bekalan taburan hujan kurang pernah dialami pada 2014.

Mengulas lanjut, katanya, isu pencemaran alam sekitar perlu dilihat secara menyeluruh berikutan perkara itu dihadapi secara berulang disebabkan angkara tangan manusia sendiri.

“Saya mengusulkan kita mengenakan hukuman lebih tinggi kepada pihak bertanggungjawab di mana sebelum ini banyak kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan tindakan diambil Jabatan Alam Sekitar.

“Namun mungkin kita boleh menilai semula dan menjatuhkan hukuman melalui perubahan enakmen kerana kesannya sangat besar serta membabitkan jabatan lain dalam perkara ini,” katanya.


Pengarang :