EKONOMIRinggit

Ringgit diniaga RM4.1420 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini ekoran sentimen terjejas akibat pertikaian perdagangan Washington-Beijing yang terus ketara, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit turun kepada 4.1420/1470 berbanding dolar AS daripada 4.1410/1450, pada Isnin.

Seorang peniaga berkata, tindakan Presiden Donald Trump mengenakan tarif tambahan ke atas barangan China bernilai US$200 bilion, hanya menyemarakkan lagi sentimen mengelak risiko di pasaran.

“Dolar AS kembali mengukuh susulan peningkatan pertikaian perdagangan semalam yang menyaksikan kelompok mata wang negara sedang pesat membangun terjejas semula apabila permintaan terhadap aset pasaran itu berkurangan,” katanya.

Ringgit bagaimanapun didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0214/0257 daripada 3.0202/0242 pada Isnin namun mengukuh berbanding yen kepada 3.6887/6938 daripada 3.6967/7012, semalam.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.4467/4558 daripada 5.4359/4428 tetapi rendah berbanding pound Britain kepada 4.8325/8400 daripada 4.8354/8414.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :