SELANGORSUKANKINI

SUKMA 2018: Skuad bola sepak Selangor atasi Kelantan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor memulakan kempen ibu emas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 dengan langkah kanan apabila membenam Kelantan 4-0 dalam acara bola sepak, di Stadium TLDM, Lumut, Perak, malam tadi.

Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari disusuli laungan semangat barisan penyokong Selangor, jelas terlalu unggul untuk Kelantan dalam saingan Kumpulan D itu.

Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak di kedudukan teratas memintas Kedah yang turut merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Pahang.

Corak kemas skuad kendalian Mohamad Haris Lajid menyaksikan Selangor lebih mendominasi sepanjang perlawanan.

Ahmad Ikhwan Hafiz dan Muhammad Arrieffahmi berjaya membuka ruang dalam tempoh 15 minit saingan, namun gagal menewaskan Mohd Syafiq Zulkifli di gawang Kelantan.

Bagaimanapun, Kelantan melancarkan serangan bertali arus dan cuba mencemas kubu lawan, tetapi tindakan gopoh Mohamad Fazrul Amir menyebabkan peluang negeri Cik Siti Wan Kembang terlepas begitu sahaja.

Usaha Selangor akhirnya berhasil apabila rembatan kencang Mohd Rusyaidi Rodzi pada minit ke-35 berjaya membolosi penjaga gol lawan.

Dua minit berselang, Syafiq tertewas lagi apabila Muhammad Azizul Baharuddin merampas bola yang terlepas daripada penjaga gol itu untuk merembat ke gawang kosong membolehkan Selangor selesa di hadapan.

Kelantan cuba bangkit pada babak kedua dan mencipta banyak peluang tetapi rentak permainan kemas ditampilkan pasukan Selangor menghalang mereka untuk menjaringkan gol.

Sebaliknya Selangor menjaringkan dua gol lagi hasil sentuhan penyudah Ariff Ar-Rashid Ariffin dan Shafizi Ikmal Md Khaiduddin pada minit ke-75 dan 77 untuk melengkapkan kemenangan mereka.


Pengarang :