BERITA UTAMASELANGOR

Ubah tabiat kehidupan seharian elak guna plastik – Puteri Zatashah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 23 SEPT: Bawa bekas makanan dan minuman sendiri sekiranya berkunjung ke kedai makan, itu nasihat Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, rakyat Selangor perlu mengubah tabiat kehidupan seharian yang sentiasa berharap pada penggunaan plastik.

“Jika anda ke kopitiam atau kedai makan, bawa bekas air, straw kitar semula dan sebagainya, hanya bermula dengan perubahan tabiat seorang individu, ia boleh mengubah ramai lagi tabiat orang lain.

“Walaupun Kerajaan Selangor sudah melaksanakan kempen bebas plastik beg, namun kita perlu berterusan dalam usaha untuk mendidik masyarakat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Tengku Zatashah berkata demikian selepas Program Gotong Royong Pembersihan Pantai Peringkat Negeri Selangor di Pantai Morib, semalam.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Pada program berkenaan, Tengku Zatashah turut sama mengutip sampah di sepanjang pantai terbabit.

“Saya berasa sedih kerana melihat situasi ini masih berlaku, jika perkara ini berterusan, kita bimbang dengan ramalan yang mengatakan pada tahun 2050, jumlah plastik di laut lebih banyak berbanding ikan.

“Bagaimanapun saya gembira dengan acara gotong-royong pada hari ini yang menerima ramai sukarelawan,” katanya.


Pengarang :