SELANGOR

Jangan bimbang fenomena kerang di Pulau Ketam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Penduduk Pulau Ketam, di sini, terutama nelayan dinasihatkan supaya tidak panik terhadap gambar atau maklumat yang tular berkenaan kemunculan ribuan kerang, di pulau itu sehingga dikaitkan sebagai petanda awal bencana alam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, fenomena itu akan berlaku setiap kali air pasang mula surut, di kawasan berpasir seperti pulau nelayan terbabit.

“Fenomena kerang timbul di Pulau Ketam yang merupakan kawasan penternakan kerang adalah perkara biasa setiap kali menjelang kejadian air pasang besar.

“Kerang itu kelihatan seolah muncul di permukaan kawasan berpasir Pulau Ketam kerana air pasang mula surut lebih rendah dari keadaan biasa yang boleh mencecah sehingga paras 0.6 meter, pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tersebarnya gambar dan maklumat dalam aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seperti kemunculan ribuan kerang spesies lokan serta lala, di pulau itu juga dikaitkan dengan petanda awal bencana alam.

Sebelum ini, sebuah portal memetik laporan media akhbar berbahasa Cina yang melaporkan fenomena kerang keluar daripada tanah dengan banyak sehingga kawasan berpasir Pulau Ketam dipenuhi haiwan laut itu, pada Ahad lalu.


Pengarang :