EKONOMI

Kontrak hadapan Minyak Sawit Mentah diniaga pada paras semasa

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan pada tahap semasa antara RM2,100 dan RM2,200 satu tan metrik minggu depan, kata peniaga.

Menurut beliau, pelabur sedang menunggu petunjuk baru untuk memasuki pasaran.

“Minyak sawit akan terus bergerak seiring dengan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago minggu depan kerana kedua-dua komoditi itu bersaing untuk destinasi eksport yang sama,” katanya.

Sementara itu, pasaran didagangkan bercampur-campur untuk minggu baru berakhir.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, November 2018 jatuh RM20 kepada RM2,125 satu tan metrik, Disember 2018 rugi RM19 kepada RM2,174 satu tan metrik, Januari 2019 merosot RM29 kepada RM2,224 satu tan metrik dan Februari 2019susut RM32 kepada RM2,278 satu tan metrik.

Perolehan mingguan meningkat kepada 216,904 lot berbanding 192,058 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 281,512 kontrak berbanding 298,481 kontrak.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan berkurangan RM10 kepada RM2,110 satu tan metrik.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :