NASIONAL

Pemilihan KEADILAN 2018: 7 cabang adakan pemilihan semula

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OKT: Jawatankuasa Pemilihan KEADILAN 2018 memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula di tujuh cabang parti itu, pada 11 November ini ekoran beberapa insiden sebelum ini.

Ia termasuk cabang Kuala Selangor selepas wujud perbuatan sabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasang ‘jammer’ di satu lokasi, di Stadium Utama Kuala Selangor.

‘Jammer’ adalah alat yang berfungsi untuk menghalang capaian internet kepada semua perkakasan komunikasi.

Cabang lain yang turut mengadakan pemilihan semula pada tarikh sama adalah lima cabang di Melaka, iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin serta satu cabang di Negeri Sembilan, iaitu Jelebu.

Sementara itu, dalam persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kembali mendahului Rafizi Ramli dengan majoriti 1,659 undi selepas meraih 46,944 undi, berbanding Rafizi 45,285 undi.

Bagi perebutan jawatan Naib Presiden pula menyaksikan, Nurul Izzah Anwar mengutip 49,120 undi diekori Zuraida Kamaruddin (37,805), Dr Xavier Jeyakumar (33,751) dan Tian Chua (30,493).

Manakala bagi persaingan merebut 20 tempat untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Dato’ Menteri Besar Selangor unggul di tempat teratas apabila berjaya meraih 37,234 undi.

Antara nama lain yang turut berada di kedudukan teratas daripada 84 calon bertanding jawatan sama, ialah Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Radzlan Jalaluddin, Kamaruddin Jaafar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Mansor Othman, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei dan Hee Loy Sian.

Selain tujuh cabang yang diarah mengadakan pemilihan semula pada 11 November ini, pemilihan peringkat Sabah akan dilangsungkan pada 3 dan 4 November ini, manakala Sarawak pada 10 November.


Pengarang :