PENDIDIKANSELANGOR

RHB labur RM2 juta bangun generasi cemerlang

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 20 OKT: Kumpulan perbankan, RHB melalui RHB Foundation (RHBF) memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi program pembangunan generasi masa depan negara.

Pengerusi RHBF, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata, justeru itu, dua program pendidikan ditubuhkan melalui RHBF iaitu RHB X-Cel dan RHB Money Master.

Katanya, RHBF mensasarkan golongan remaja yang berpotensi dalam pendidikan namun kurang berkemampuan dengan menyediakan bengkel kecemerlangan serta bantuan kelas tuisyen.

“Kami menyediakan platform ini bagi membolehkan potensi pelajar digilap sehingga berjaya menghasilkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik,” katanya dalam ucapan Program RHB X-Cel di Kompleks RHB, hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan (Operasi), Izehari Basar dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah, Pesol Md Saad.

Khairussaleh berkata, RHB X-Cel yang baru sahaja diperkenalkan pada tahun ini turut melibatkan 800 pelajar daripada 18 buah sekolah seluruh negara.

“Kami mensasarkan 1,000 pelajar untuk menyertai program ini menjelang tahun 2019, dan dalam masa sama, menyedari kepentingan pengurusan kewangan, RHB turut menyediakan Program RHB Money Monster.

“Ia mensasarkan golongan remaja di peringkat sekolah menengah, penuntut universiti dan belia,” katanya.


Pengarang :