AGAMAEKONOMI

Sedeqah, wakaf perlu diperkukuhkan biayai aset berisiko

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Penggunaan elemen kewangan sosial Islam seperti sedekah dan wakaf sebagai pilihan baharu pembiayaan untuk aset berisiko seperti keperluan perniagaan syarikat pemula niaga perlu diperkukuhkan dan dirasmikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar, berkata walaupun persekitaran kewangan Islam Malaysia berkembang pesat, ia perlu melihat kepada segmen lain, iaitu kewangan sosial Islam.

Dengan kutipan zakat di seluruh dunia mencecah US$500 bilion setahun, sistem yang juga rukun Islam dalam soal berkaitan harta ini dicadangkan beberapa pihak supaya digunakan untuk membiayai aset berisiko seperti perniagaan pemula niaga Islam.

Mengulas mengenai cadangan itu, Azmi berkata, ia menimbulkan persoalan kerana ia tidak memenuhi kriteria lapan golongan asnaf menurut ajaran Islam.

Lapan asnaf berkenaan adalah fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, mereka yang berhutang, mereka yang berjihad ke jalan Islam dan Ibnus Sabil (musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan kerana Islam)

“Jika bantuan kewangan itu tidak memenuhi lapan kriteria penerima, zakat tidak boleh diagihkan (untuk membiayai aset berisiko). Kewangan sosial Islam adalah luas dan terdapat komponen lain yang boleh digunakan.

“Saya mencadangkan supaya digunakan sedekah dan infak atau wakaf untuk tujuan itu,” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Global 2018, di sini.

Idea untuk menggunakan dana ini sudah diperkatakan di Malaysia sementara di beberapa negara, ia dikategorikan di bawah sektor keempat dan pengurusannya terletak di bawah institusi.

“Sebagai contoh, di Turki, terdapat hospital, sekolah dan kemudahan lain dibiayai oleh dana ini. Bagi Malaysia, kita masih di peringkat awal dan kita baru sahaja memulakan langkah terhadap wakaf korporat, itu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat keperluan untuk melaksanakan teknologi baharu seperti blockchain ke dalam amalan kewangan sosial Islam bagi menangani isu berkaitan amanah, termasuk dalam pembayaran dan agihan zakat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :