SELANGOR

Tiga kaedah dikenalpasti selesai masalah banjir di Jalan B27 Rawang

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 27 OKT: Kerajaan Negeri memutuskan tiga kaedah penting bagi menyelesaikan kekerapan masalah banjir kilat yang berlaku di Jalan B27, berdekatan AEON Rawang, di sini.

Sebelum ini, kejadian banjir kilat di situ mula viral di media sosial bermula Januari tahun ini dengan kenaikan air dari 0.3 hingga 0.6 meter.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya menjangkakan kesemua kerja dijangka selesai dalam tempoh dua tahun.

Katanya, namun bagi memastikan keselesaan rakyat, pihaknya turut memutuskan langkah jangka masa pendek dengan menaiktaraf kolam takungan (detention pond) yang terletak di Anggun 1.

“Kita akan baikpulih kolam itu, sekali gus membolehkan air disalurkan ke kolam, langkah ini dilihat dapat mengurangkan air bertakung di jalan sehingga menyebabkan banjir kilat.

“Sementara itu bagi penyelesaian jangka panjang pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM65 juta bagi menambah ketinggian permukaan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim, wakil Jabatan Kerja Raya dan konsultan.

Lawatan bersama agensi-agensi kerajaan ke lokasi kejadian itu dibuat bersempena Program Jelajah Maju Bersama 2018 bagi kawasan Gombak.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan JKR akan mengambil tindakan penarikan semula kontrak terhadap syarikat kontraktor yang gagal menyiapkan kerja-kerja yang telah diarahkan sebelum ini.

“Pihak konsultan turut menasihatkan supaya antara kemungkinannya pemberian kontrak naiktaraf Jalan B27 ini ditender semula.

“Namun saya amat berharap supaya kerja-kerja naiktaraf kolam takungan air itu disiapkan terlebih dahulu sekali gus dapat memgurangkan air bertakung diantara 50 hingga ke 60 peratus,” katanya.

 


Pengarang :