NASIONAL

Warga British maut dipercayai dibunuh isteri sendiri

LANGKAWI, 18 OKT: Seorang warga British ditemui mati selepas dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh isterinya dalam sebuah rumah, di Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat John William Jones, 62, dijumpai terbaring dalam keadaan mengiring di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi.

“Sejurus menerima panggilan daripada jiran pasangan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Padang Matsirat berkejar ke tempat kejadian dan mendapati isteri si mati masih berada di sisi mayat,” katanya kepada BERNAMA.

Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 30 sentimeter di atas lantai bilik tidur pasangan itu dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Mohd Iqbal berkata, isterinya yang berumur 62 tahun yang juga warga British kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Pengarang :