NASIONAL

Belanjawan 2019: Kementerian Pertahanan lega, cari jalan susun perbelanjaan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan pengumuman Belanjawan 2019 walaupun berhadapan kekurangan peruntukkan hampir 10 peratus berbanding sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pengekalan jumlah emolumen bagi membolehkan gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran dibayar seperti biasa adalah paling penting.

Katanya, ia termasuk pertambahan peruntukkan kepada veteran ATM kepada RM20juta yang disifatkan sebagai satu penghargaan atas jasa bakti mereka kepada negara selama ini.

“Memang ada sedikit pengurangan hampir 10 peratus tetapi bahagian emolumen tidak terjejas. Yang terjejas dari sudut aset dan peralatan yang kita akan mencari jalan dengan amoun diberikan supaya ATM berada dalam keadaan siap siaga.

“Peruntukkan untuk veteran (ATM) bertambah RM20 juta. Belanjawan 2019 memberikan penghargaan terutama buat anggota dan bekas tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui di Lobi Parlimen sejurus selesai pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menyentuh soal pengurangan peruntukkan beliau berkata, kementerian akan memikirkan langkah terbaik untuk mengurus perbelanjaan tahun hadapan dan yakin ekonomi negara akan kembali pulih seperti dihasratkan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Sedikit pengurangan itu, kami akan menyusun segala bentuk perbelanjaan dan pengurusan bagi menantikan perubahan yang saya yakin (berlaku) dalam masa dua atau tiga tahun.

“Bagi saya, paling gembira bahagian emolumen tidak terusik. Itu paling penting kerana tentera dan kakitangan, peruntukkan kebajikan serta bekas anggota diutamakan,” katanya.


Pengarang :