Belanjawan’19: ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’ | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Afeeqa Afeera

Belanjawan’19: ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Belanjawan Selangor 2019 yang dibentangkan hari ini bertunjangkan ikhtiar ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia hasil daripada garapan berasaskan kepada hasrat Reformasi dan mengambil kira keperluan realiti masyarakat, di Selangor selaras hasrat melonjakkan negeri itu sebagai aktor serantau Asia Tenggara.


Justeru, katanya, beberapa komponen inisiatif ekonomi dikenal pasti bagi memastikan belanjawan 2019 menampilkan keseimbangan antara usaha merancakkan ekonomi, sekali gus mencipta aliran pendapatan baharu kepada negeri dan keperluan memberdayakan rakyat.

“Hari ini genap enam bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) menggalas amanah sebagai Kerajaan Negeri selepas pilihan raya bersejarah, pada 9 Mei lalu dan sepanjang tempoh itu, saya bersama anggota pentadbiran mencurahkan tenaga serta usaha mendengar sebanyak mungkin idea, mendekati rakyat juga merumuskan bentuk kebijakan yang harus diambil selain permasalahan yang perlu ditangani segera.

“Sungguhpun Selangor terkenal dengan julukan Gedung Ekonomi Malaysia, kita seharusnya tidak mudah berpuas hati dan hanyut dibuai dengan keselesaan itu. Sewajarnya kita berusaha lebih kuat untuk memantapkan prestasi ekonomi, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memastikan kewibawaan berteraskan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban sentiasa dijunjung.

“Sayugia diinsafi, kecekalan pentadbiran Selangor semenjak dari 2008 demi melaksanakan agenda peduli rakyat menjadi pemangkin kepada mandat yang sangat luar biasa pada pilihan raya umum lalu. Keyakinan rakyat Selangor terhadap pentadbiran PAKATAN itu diterjemahkan kepada kemenangan 51 daripada 56 kerusi di Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, naratif pembangunan ekonomi di Selangor menjadi contoh dan “selling point” yang berjaya membawa PAKATAN ke Putrajaya serta harus ditanggapi sebagai kemahuan rakyat Malaysia kepada perubahan menyeluruh.

Beliau turut memetik tulisan Adam Smith berjudul The Theory on Moral Sentiments bahawa “kewibawaan akal budi akan mengemudi cita-cita melaksanakan kebaikan dan hanya akal, prinsip, nurani yang berada di dalam dada, adalah diri yang menjadi hakim hebat dan penentu kepada tindakan kita”.

“Justeru, saya memikul tanggungjawab berat untuk meneruskan kecemerlangan dan melaksanakan tuntutan perubahan diingini rakyat.

“Semoga kewibawaan akal budi menjadi seumpama bintang utara kepada pentadbiran ini untuk menzahirkan kecemerlangan melakukan kebaikan, kecemerlangan memberdayakan masyarakat, “the propriety of generosity” dan moga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita untuk menjauhi kezaliman atau apa yang Adam Smith sebut “the ugliness of injustice”,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next