NASIONALSUKANKINI

E-sukan: AirAsia Saiyan bebaskan pengurus dan pemain

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 NOV: Pengurusan AirAsia Saiyan (ASYN) mengumumkan pelepasan kepada pengurus dan enam pemain dari pasukan itu, mulai hari ini.

Jurucakap pasukan Mobile Legends tempatan itu berkata, keputusan itu dibuat kerana menghormati kehendak pihak berkaitan dan membebaskan mereka daripada kontrak sepenuhnya.

Dengan itu, katanya, ASYN secara rasmi melepaskan pengurus pasukan, Jinzy serta enam pemain, Fredo, Soloz, Rush, Gripex, Logan dan Penjahat dari jadual rasmi pasukan.

“Sejak bermulanya AirAsia Saiyan, mereka aktif menyertai kejohanan dan pertandingan di Asia Tenggara seperti MPL Season 1, Mobile Legends Southeast Asia Cup, Mobile Star League dan MPL Season 2.

“Dengan berakhirnya MPL Season 2 Playoffs, permain ASYN ingin berehat daripada menjadi permain profesional e-sukan buat semetara waktu selepas berusaha gigih untuk sesi 2018,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan yang turut menyertai Selangor Cyber Games 2018 lalu itu bagaimanapun berkata, ASYN tidak akan meninggalkan e-sukan Mobile Legends Malaysia.

Katnya, ASYN akan kembali dengan berita dan pengumuman berkenaan rancangan terbaharunya dalam masa terdekat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih dan semoga mereka berjaya dalam kerjaya pada masa depan,” katanya.


Pengarang :