SELANGOR

Instameet Malaysia 2018 tonjol konsep ‘Virtual To Reality’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 DIS: Penganjuran Projek Instameet Malaysia 2018, di Grandeur Labs@Eco Grandeur, di sini, baru-baru ini, mempamerkan proses kematangan golongan muda dalam berfikir, sekali gus mengetengahkan konsep program ‘Virtual to Reality’.

Program anjuran penuntut tahun akhir jurusan Pengurusan Acara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu menghimpunkan hampir 50 pengguna laman sosial Instagram untuk berkongsi pandangan, selain memandang isu pentingnya komunikasi sesama manusia.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, program terbabit bukan sahaja meningkatkan daya usaha mahasiswa, bahkan dapat mengenalpasti kemahiran yang ada dalam diri mereka, seterusnya diaplikasi dalam dunia luar selepas tamat pengajian.

“Saya berbangga atas usaha jawatankuasa dalam merangka Instameet Malaysia yang menggalakkan golongan muda untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba mengamalkan gaya hidup seimbang dengan berinteraksi sesama masyarakat.

“UiTM memberi galakan penuh kepada pelajar merancang aktiviti berpersatuan mengikut minat mereka demi melahirkan mahasiswa yang berani, kreatif, berinovasi, proaktif dan fleksibel.

“Hal ini mendorong pelajar supaya bijak menggunakan cara komunikasi mengikut situasi berbeza dengan pihak komunitinya sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini.

Turut hadir, Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Prof Dr Siti Halijjah Shariff; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Sumber, Dr Muhammad Sukor Jaafar; Timbalan Pengarah Hab Kreatif Media & Teknologi, Dr Masrur Mohd Khir; Ketua Pegawai Operasi EcoWorld, Dato’ Sundarajoo Somu serta Pengurus Besar EcoWorld, Ho Kwee Hong.

Terdahulu, Instameet Malaysia 2018 yang dikelola sepenuhnya oleh jawatankuasa ‘Paradoxx Ventures’ turut mendapat kerjasama hebat antara Majlis Daerah Kuala Selangor, Tourism Selangor dan EcoWorld.

Sementara itu, Pengarah Projeknya, Muhammad Nabil Ashraf Suhaimi menyifatkan program terbabit sebagai medium memperkenalkan daerah Kuala Selangor terhadap generasi muda, sekali gus menarik perhatian pelancong luar berkunjung ke tempat itu.

“Pada masa sama, kami juga boleh membantu mempromosikan dan menaikkan sektor pelancongan yang ada di Kuala Selangor kepada orang luar melalui Instagram.

“Masyarakat luar perlu tahu bahawa Selangor bukan sahaja dikenali sebagai negeri maju dalam sektor perindustrian, sebaliknya turut rancak berkembang dalam industri pelancongan,” katanya.

Antara aktiviti diadakan sepanjang program yang bermula jam 2 petang hingga 10 malam itu termasuk sesi ‘Meet & Greet With Influencers’, bengkel videografi dan kecantikan, kendera saji (Food Truck) dan vendors, ‘Fashion Stylist Talk’

Kemuncak program menyaksikan persembahan istimewa artis tempatan seperti Amy Search, Arjalee, Kucaimars dan ramai lagi.


Pengarang :