NASIONAL

MAPIM sertai usaha SAR mangsa tsunami Selat Sunda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tsunami di Selat Sunda, sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, operasi berkenaan diketuai Mejar Bersekutu Zulhanis Zainol dan Kapten Bersekutu Shukri Othman untuk menyalurkan bantuan awal.

“Akibat angka korban dan cedera yang semakin meningkat, MAPIM juga menyalurkan bantuan asas berupa kotak makanan serta keperluan lain.

“Turut sama menyertai misi kali ini adalah rakan strategik MAPIM, iaitu Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia yang lengkap anggotanya,” katanya kepada SelangorKini.

Sani berkata, operasi pencarian yang bermula sejak semalam terpaksa dihentikan seketika akibat amaran tsunami gelombang kedua.

“Saya dimaklumkan ketika anggota sedang menjalankan kerja pencarian mangsa, sukarelawan menerima arahan untuk menghentikan pencarian kerana terdapat amaran air pasang yang berkemungkinan tsunami kali kedua,” katanya.

Pada masa sama, Sani berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah menyumbangkan dana kepada Akaun Maybank 558220605312 (Dana Mapim).

Sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian hotline 0192890298 atau e-mel kepada [email protected].


Pengarang :