SUKANKINI

Mini Cub Prix KBS: Saingan sengit rebut juara pertama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 DIS: Saingan musim pertama Kejuaraan Mini Cub Prix KBS semakin menuju kemuncak dan juara keseluruhan hanya akan diketahui pada pusingan terakhir di Bandar Penawar, Johor, minggu ini.

Siri perlumbaan program pembangunan sukan permotoran negara anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu, menyaksikan persaingan hebat beberapa pelumba untuk muncul pemenang di akhir musim.

Jika pada awal saingan musim ini kelihatan Mohd Aidil Mohamad Ayub begitu mendominasi perlumbaan dengan memenangi lima perlumbaan berturut-turut bermula dari pusingan pertama sehingga ketiga, namun insiden demi insiden dialami ketika perlumbaan menyaksikan kedudukan kini berubah.

Kegagalan menaiki podium pada Perlumbaan 2 pusingan ketiga dan Perlumbaan 1 di Jempol ditambah dengan kegagalan untuk menamatkan Perlumbaan 2 menyebabkan pelumba berusia 12 tahun dari Selangor itu terpaksa menyerahkan takhta pendahulu kepada Nabil Abdul Rahman.

Nabil yang muncul juara Perlumbaan 2 di Batu Kawan dan Perlumbaan 1 di Jempol serta naib juara kini menghuni tangga teratas dengan 153 mata, hanya enam mata mendahului Aidil (147 mata).

Sementara itu, Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas yang konsisten menamatkan saingan di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan turut memberikan cabaran apabila menghuni tangga ketiga (134 mata).

Dengan baki 50 mata maksimum pada dua perlumbaan terakhir, persaingan lebih terarah di antara Nabil dan Mohamad Aidil sambil Muhammad Farish berupaya memberikan kejutan manakala Putera Alif Irfan (101 mata) di kedudukan keempat dilihat masih berpeluang mencipta kejutan bagi merebut slot automatik dan biasiswa menyertai siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019.

Persaingan kategori terbuka lebih menarik dan sengit apabila hanya lima mata dibezakan antara tiga pelumba teratas dengan juara pusingan ketiga, Adib Hareez Hazwat di tangga teratas dengan 62 mata manakala kegagalan juara pusingan pertama dan kedua, Muhammad Hakim Danish Ramly menamatkan perlumbaan di Jempol menyaksikannya jatuh ke kedudukan kedua (58 mata) sambil Qabil Irfan Azlan yang memenangi perlumbaan lalu di kedudukan ketiga (57 mata).

Dalam kategori kadet pula, Muhammad Hakim Danish dilihat sukar dicabar apabila berjaya memenangi keempat-empat perlumbaan lalu dan mengumpul 100 mata maksimum manakala Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman berjaya menaiki podium dalam semua perlumbaan bagi kategori kidz, berada di tangga teratas dengan 81 mata.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PUSINGAN 4 KEJUARAAN MINI CUB PRIX KBS

JUNIOR
1. Nabil Abdul Rahman (JHR) 153 mata
2. Mohamad Aidil Mohamad Ayub (SGR) 147 mata
3. Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas (JHR) 134 mata
4. Putera Alif Irfan Abdullah (SGR) 101 mata
5. Muhammad Alif Izwan Samsul Fakry (KUL) 87 mata

OPEN
1. Adib Hareez Hazwat 62 mata
2. Muhammad Hakim Danish Ramly 58 mata
3. Qabil Irfan Azlan 57 mata
4. Muhammad Adib Arsyad Hisyam 46 mata
5. Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 42 mata

KADET
1. Muhammad Hakim Danish Ramly 100 mata
2. Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 72 mata
3. Muhammad Farish Hafiy Farid Sezli 52 mata
4. Haidar Nur Akmal Mohd Zaki 36 mata
5. Muhammad Adie Putra Sukarno 27 mata

KIDZ
1. Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman 81 mata
2. Muhammad Adib Arsyad Hisyam 65 mata
3. Qabil Irfan Azlan 60 mata
4. Muhammad Syahmi Aiman Mohd Shafie 52 mata
5. Muhammad Shah Putra Norshahrizan 36 mata


Pengarang :