Ujian vaksin Covid-19 fasa ketiga akan menguji sama ada ia dapat ‘melindungi sejumlah besar orang dalam jangka masa panjang’.
NASIONAL

Jangan terpedaya propaganda tolak vaksin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang awam supaya tidak terpengaruh dengan perkongsian maklumat tidak sahih berkaitan vaksin khususnya di laman sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk dakwaan kononnya Program Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan kerajaan tidak memberi manfaat serta menimbulkan banyak kesan buruk.

“Pemantauan KKM mendapati wujud ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak mereka setelah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan.

“Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan serta usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia-sia,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kes penolakan vaksin pada 2017 sedikit menurun iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan KKM secara meluas bersama agensi awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan.

“Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik-klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada 2016,” katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya memantau penyebaran maklumat tidak sahih ini kerana ia memberikan kesan terhadap usaha KKM dalam mengekang peningkatan kes-kes berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin malahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

“Penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin meningkat di negara ini, dengan kes demam campak meningkat daripada 195 kes pada 2013 kepada 1,934 kes pada 2018, iaitu peningkatan 891.8 peratus bagi tempoh lima tahun.

“Bilangan kes demam campak (measles) yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes (68.7%) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9%) pada 2018.

“Pada 2018, KKM merekodkan enam kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi, lima kematian difteria dengan empat kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis) membabitkan 19 kes tiada imunisasi,” katanya.

Untuk rekod, pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit–penyakit tertentu selain berfungsi mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian.

Ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan bakteria dan virus tertentu malahan diberikan secara percuma kepada bayi serta kanak-kanak warganegara di klinik-klinik kerajaan sejak 1950an.

“Dengan program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

“Imunisasi juga berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini manakala penyakit polio telah berjaya dibasmi di Malaysia,” katanya.


Pengarang :